Enam tahun dahulu, tiada siapa yang menyangka pasukan yang telah
diturunkan ke divisyen terbawah Liga Malaysia akan bangkit mencipta
fenomena baru dalam kalangan pasukan gergasi negara kita yang lain.
Tiada siapa juga menduga, pasukan yang seringkali menerima nasib buruk
dan menerima layanan anak tiri dari Persatuan Sukan terulung di Malaysia
berjaya menjadi gergasi dan mewakili negara sehingga ke peringkat asia.
Perit jerih, pasang surut, maki hamun serta provokasi melampau akhirnya
tertepis dengan kejayaan demi kejayaan sehingga menerbitkan rasa cemburu
peminat dan pasukan yang bersaing di kejohanan domestik.
Selepas muncul antara pasukan yang paling berpengaruh di Malaysia, kini
Kelantan bakal mencipta sejarah baru sepanjang penubuhan pasukan sejak
beberapa puluh tahun lepas dengan kejayaan mara sehingga ke pentas
kumpulan Piala AFC.
Permulaan di Liga FAM disudahkan dengan kejayaan ketiga Liga Perdana
sebelum diberi kesempatan pergi lebih jauh untuk muncul juara Liga Super
dan kini, Piala AFC menggamit Sang Kijang buat pertama kali memburu
penghormatan cuba melepaskan diri lebih jauh daripada pasukan Malaysia
yang terdahulu.
Adakah kejayaan yang diraih Kelantan akan disifatkan pasukan "mee
segera" seperti yang dilaungkan dengan lantang oleh orang kuat sebuah
persatuan yang kini menerima desakan dari peminat sendiri supaya meletak
jawatan.
Tidak, sama sekali tidak kerana hinaan pasukan yang cepat naik dan mudah
jatuh seperti yang dilemparkan tidak menjadi kenyataan malahan The Red
Warriors terus menerus meningkat naik tanpa menoleh ke belakang lagi.
Kekuatan Sang Kijang kini dilihat menyeluruh dan wajar sama sekali semua
penyokong pasukan lawan menerima dengan hati terbuka betapa delegasi
yang telah dicipta bermula lima tahun lepas sudah matang dan bersedia
untuk merebut sejarah pertama negara kita sebuah kelab dapat mencipta
kejuaraan di peringkat antarabangsa.
Siapa tahu, Kelantan bakal menjadi pasukan tempatan muncul pemenang yang
dinanti-nantikan. Itulah harapan kita, para penyokong perwira Merah
Putih

Tiada ulasan:
Catat Ulasan