
Mohammed
Ghaddar (dua,kanan) dan rakan senegaranya tiba di Kelantan dua hari
lalu untuk menyertai sesi latihan bersama skuad The Red Warriors.
Buru pemain import keempat, meskipun kewangan Kafa tidak mengizinkan
KOTA BHARU – Tiga pemain import terbaru
The Red Warriors sah akan didaftarkan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan
(Kafa) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang akan bermula
awal Januari tahun depan.
Bukan lagi rahsia, apabila ketiga-tiga
pemain import iaitu Emmanuel Ayaah Okine dan Denny Agyare Antwi
(kedua-duanya Ghana) dan penyerang skuad kebangsaan Lebanon, Mohammed
Ghaddar Mahmoud sudah pun mengikat kontrak antara dua hingga tiga tahun
bersama Kelantan.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa
berkata, pendaftaran ketiga-tiga pemain itu dibenarkan oleh Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM) berdasarkan peraturan dimana Kelantan bakal
beraksi dalam Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sekitar
Mac tahun depan.
“Kita sudah memuktamadkan keputusan
(pendaftaran pemain import) berdasarkan kebenaran FAM yang membenarkan
kita mendaftarkan tiga pemain import untuk saingan Liga-M pada musim
depan.
“Meskipun kita mendaftarkan tiga pemain,
namun hanya dua pemain import sahaja yang dibenarkan beraksi untuk
Kelantan dalam kancah Liga-M pada musim depan. Jadi saya boleh
mengesahkan ketiga-tiga mereka didaftarkan dengan FAM untuk musim depan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita
dalam sidang media mengenai persiapan pasukan Kelantan untuk musim 2012
di Kafe The Red Warriors, di sini semalam.
Mengulas mengenai pemain import keempat
seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini, Annuar menjelaskan pihaknya
sedang menguji beberapa pemain bagi mengisi kuota empat pemain import
seperti yang dibenarkan oleh pihak AFC.
“Segalanya terpulang kepada jurulatih
(Peter Butler) yang tentukan. Kalau perlu kita ambil pemain keempat,
saya sedia timbangkan meskipun kantung kewangan Kafa tidak mengizinkan.
“Pusingan pertama kita perlu menghadapi
enam perlawanan, dan kita terpaksa membayar gaji yang mahal hanya
semata-mata bermain untuk enam perlawanan itu. Tapi kalau jurulatih kata
perlu, maka perlulah Kafa ambil.
“Memang peraturan AFC membenarkan kita
mendaftarkan empat pemain tetapi hanya tiga pemain import dibenarkan
beraksi dalam satu-satu masa. Mungkin kalau kita ada empat pemain, kita
boleh gilirkan keempat-empat pemain itu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan