![]() |
| Ramzul bersama dengan penyerang import, Muhammad Ghaddar. |
PANTANG
mengalah sebelum berjuang! Itulah yang boleh menggambarkan keazaman
penyerang muda, Mohd Ramzul Zahini Adenan yang terpaksa bersaing dengan
pemain lain, termasuk pemain import untuk memantapkan jentera skuad bola
sepak Kelantan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M), musim depan.
Jika
diikutkan dalam senarai pemain dikeluarkan Persatuan Bola Sepak
Kelantan (KAFA) sebelum ini, Ramzul mungkin terpaksa bersaing dengan dua
pemain import serta penyerang lincah kebangsaan, Norshahrul Idlan
Talaha di posisi depan pasukan.
Persaingan
yang terpaksa diharungi pemain berusia 23 tahun ini dilihat sukar,
namun dia tetap berfikiran positif dan percaya peluangnya untuk
diturunkan masih ada jika dia terus meningkatkan usaha pada sesi
latihan.
“Sudah
pasti perasan risau tetap ada, tapi bagi saya ia lebih kepada
persaingan sihat antara semua pemain Kelantan termasuk saya untuk terus
meningkatkan prestasi semasa. Saya juga rasa Mat Yo masih hebat.
“Kehadiran
pemain import bukan satu beban kepada saya, tapi saya menjadikannya
sebagai motivasi kepada diri saya. Sekurang-kurangnya ia dapat membantu
saya ‘mencuri’ dan mempelajari teknik baru daripada mereka (pemain
import),” katanya ketika dihubungi semalam.
Malah,
kehadiran pemain dan jurulatih baru, Peter Butler dalam skuad The Red
Warriors musim ini juga bagaikan membuka peluang kedua kepada penyerang
itu untuk membuktikan kemampuan sebenar sekali gus dipilih untuk
membarisi kesebelasan utama.
“Jurulatih
pernah memberitahu pemain, dia (Butler) tidak akan ‘melebihkan’ pemain
import berbanding pemain tempatan jika mereka (pemain import) tidak
beraksi baik dan sedia memilih siapa saja dalam skuad utama,” katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan