TURUN selaku penyandang juara Piala Presiden 2011, Kelantan yakin pertahankan kejuaraan trofi menjelang sepak mula, 26 Januari depan.
Pengurus pasukan, Mohammad Yusri Ismail, berkata, kehadiran jurulatih baru, Mohd Hashim Mustapha dilihat dapat membantu merealisasikan misi tersebut, walaupun pasukan dibarisi rata-rata pemain baru.
“Saya yakin pengalaman dan kebolehan Hashim, beliau boleh membentuk pasukan yang lebih baik.
“Kalau kita lihat keputusan undian tadi (semalam), ia menyebelahi Kelantan. Bagaimanapun kita tetap berwaspada dengan pasukan lain terutama Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Sabah dan Johor,” katanya selepas majlis undian Piala Presiden di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, semalam.
Di sebalik misi tersebut, Yusri mengakui pasukan Piala Presiden Kelantan, sebenarnya kehilangan sebahagian besar pemain termasuk tiga tonggak utama iaitu Izwan Salehhuddin, Mohd Akid Ramli dan Mohd Asyraf Ramli yang menyertai pasukan Harimau Muda A dan B.
“Selepas pemilihan dibuat, latihan keserasian antara pemain lama dan baru semakin baik,” katanya.
Bagi tujuan memantapkan pasukan dan persediaan menghadapi liga, kami sudah mengaturkan empat perlawanan persahabatan antara pasukan Piala Presiden pada 14 hingga 17 Januari iaitu menentang ATM, PKNS FC, Sime Darby FC dan Kuala Lumpur.
Sementara itu, Hashim Mustapha menaruh harapan tinggi kepada barisan pemain muda Piala Presiden Kelantan untuk mempertahankan kejuaraan.
“Walaupun keputusan undian menyebelahi kita, ini bukan jaminan dan kita tidak boleh selesa dengan kedudukan tersebut,” katanya.
Pada majlis undian Piala Presiden 2012, 27 pasukan bertanding berbanding hanya 20 pasukan musim lalu dan akan bermula pada 26 Januari depan.
Manakala, sembilan pasukan akan bertanding dalam perebutan Piala FAM 2012 yang akan bermula pada 29 Januar,i termasuk pasukan baru dari Pulau Pinang Perbadanan Bekalan Air (PBAPP).

Tiada ulasan:
Catat Ulasan